KUCHING: Dunia hari ini bukan sahaja berdepan peperangan bersenjata, malah turut menghadapi peperangan persepsi yang berlaku melalui media sosial dan penulisan .
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, naratif yang disebarkan melalui pelbagai platform mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat.
Tambahnya, naratif berkenaan turut mencetuskan kebencian, perkauman dan perpecahan sekiranya tidak diurus secara bertanggungjawab.
“Peperangan persepsi ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
“Namun kesannya boleh meresap ke dalam pemikiran masyarakat dan akhirnya menjejaskan keharmonian,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada penutupan Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2026 di Pullman Hotel, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengamal media supaya terus mengutamakan nilai kemanusiaan dalam setiap kandungan yang dihasilkan walaupun perlu memenuhi tuntutan pelaporan semasa.
Menurutnya, Sarawak sebagai negeri berbilang kaum tidak mampu membiarkan kandungan media menjadi pencetus kepada kebencian atau perpecahan.
Sebaliknya tegas beliau media perlu memainkan peranan dalam memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.
