SARATOK: Projek jalan dari Kampung Kupang ke Simpang Bajau yang dijadual siap pada 4 September 2027, akan memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek bernilai RM122.5 juta itu mencapai kemajuan semasa iaitu mencapai 48.53 peratus, iaitu 7.31 peratus mendahului jadual ditetapkan.
Beliau berkata, perkembangan itu diberitahu di dalam Mesyuarat Penyelarasan Projek yang diadakan di Pejabat Tapak Projek, di sini semalam, melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, kontraktor serta Sarawak Energy Berhad (SEB).
Menurutnya, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada penyelarasan kerja pengalihan tiang talian voltan tinggi 11 kilovolt (kV) yang sebelum ini menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek.
Katanya, beberapa kaedah penyelesaian dipersetujui bagi mempercepatkan proses pengalihan utiliti supaya kerja pembinaan dapat diteruskan mengikut jadual.
Projek di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada kepada jalan berturap sepanjang 19.9 kilometer (km) serta pembinaan lima jambatan baharu.
Tapak projek diserahkan kepada kontraktor pada 17 Januari 2025, manakala pelaksanaan fizikal bermula pada 14 Januari 2025 sebelum majlis pecah tanah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Ahmad Zahid Hamidi 22 Jun 2025.
“Apabila siap kelak, projek itu dijangka memberi manfaat kepada tiga kampung di Kupang, 10 rumah panjang dan tiga sekolah, selain meningkatkan akses penduduk ke Pasar Saratok dengan perjalanan yang lebih singkat, selamat dan selesa,” katanya.
Laluan strategik yang dihubungkan melalui Jalan Bajau itu juga dijangka merancakkan pembangunan sosioekonomi kawasan luar bandar kerana terletak kira-kira lapan km dari Lebuh Raya Pan Borneo dan 43 km dari Betong.
