KUALA LUMPUR: Status pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pusa kini berada pada fasa menunggu kelulusan urusan pemberimilikan tanah, kata Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Manakala, katanya cadangan pembinaan BBP Sebuyau terus diperjuangkan bagi meningkatkan liputan perkhidmatan kebombaan di Parlimen Batang Lupar.
Beliau sehubungan itu menghargai maklum balas yang diberikan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terhadap soalan lisannya di Dewan Rakyat mengenai perkembangan kedua-dua projek berkenaan.
Menurut beliau, KPKT memaklumkan projek pembinaan BBP Pusa telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rancangan Boleh Pinda 1 (RP1) Tahun 2026 bagi kerja-kerja awalan tapak dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.
Kementerian turut menjelaskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengemukakan permohonan pemberimilikan tanah kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Sarawak melalui sistem MyLand pada 28 Februari 2026 dan kini sedang menunggu kelulusan.
Sehubungan itu, Mohamad Shafizan berharap proses pemberimilikan tanah dapat disegerakan bagi membolehkan kerja-kerja awalan serta pembinaan BBP Pusa dimulakan mengikut perancangan.
Beliau berkata kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak amat penting bagi memastikan usaha memperkukuh kesiapsiagaan pasukan bomba di kawasan Batang Lupar dapat direalisasikan.
Mengenai cadangan pembinaan BBP Sebuyau, KPKT memaklumkan hasil kajian risiko kebakaran menunjukkan kawasan itu memperoleh skor 11 markah dan dikategorikan sebagai berisiko rendah, sekali gus belum memerlukan pembinaan balai baharu secara mendesak.
Bagaimanapun, Mohamad Shafizan menegaskan cadangan tersebut wajar terus diberi perhatian memandangkan balai bomba terdekat ialah BBP Simunjan yang terletak kira-kira 59 kilometer dari Sebuyau dengan anggaran masa perjalanan sekitar satu jam.
