Media bukan sekadar pelapor, penghubung masyarakat pelbagai kaum

KUCHING: Integriti dan ketepatan maklumat kini menjadi cabaran serta penentu utama kekuatan sesebuah negara dalam mendepani era ledakan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

​Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof menegaskan bahawa landskap kewartawanan hari ini menuntut warga media bukan sekadar menjadi pertama melaporkan berita, tetapi menjadi paling tepat dan dipercayai.

​Menurut beliau, masyarakat kini berdepan ancaman manipulasi kandungan menerusi teknologi AI yang sukar dibezakan daripada realiti, lambakan maklumat serta penyebaran berita palsu.

​”Kemampanan dan masa depan industri media, memerangi maklumat palsu, memperkukuhkan komunikasi krisis dan melindungi ruang digital. Inilah cabaran kita, inilah amanah kita dan inilah tanggungjawab yang mesti kita pikul bersama,” katanya.

​Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 Peringkat Sarawak dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Tema HAWANA 2026, iaitu “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”.

​Bagi memastikan keselamatan ruang digital terus dilindungi, Fadillah menjelaskan kerangka perundangan seperti Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) memainkan peranan penting dalam memperkukuh akauntabiliti.

​Namun begitu, beliau memberi jaminan bahawa usaha mempertahankan kestabilan awam tidak akan membungkam perbezaan pendapat, sebaliknya memastikan wacana awam dibina atas fakta dan rasa hormat.

​Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) sebagai langkah matang industri untuk memperkukuhkan amalan kawal selia kendiri berasaskan profesionalisme dan etika.

​”Namun, kita juga perlu memahami bahawa kebebasan media sentiasa hadir bersama tanggungjawab. Kebebasan bukanlah lesen untuk mengabaikan fakta atau menyemarakkan kebencian,” tambah beliau.

​​Menyentuh mengenai keunikan Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian budaya, Fadillah memuji peranan media tempatan yang bertindak sebagai jambatan penghubung antara kaum serta komuniti bandar dan luar bandar.

​Sebagai Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, beliau turut menghargai media sebagai rakan strategik kerajaan dalam menjelaskan isu-isu kompleks seperti perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik global; agenda peralihan tenaga dan ekonomi hijau dan pelaksanaan projek infrastruktur dan transformasi digital.

​Langkah ini penting bagi memastikan setiap dasar difahami dengan baik berdasarkan fakta, bukannya persepsi atau spekulasi.

​Fadillah turut menggesa organisasi media untuk terus melabur dalam pembangunan modal insan agar wartawan masa kini melengkapkan diri dengan kemahiran baharu seperti analitik data, keselamatan digital, kewartawanan data dan penggunaan AI secara beretika.

​Beliau turut menekankan kepentingan menjaga kebajikan pengamal media yang sering bertugas dalam keadaan mencabar dan bertekanan tinggi melalui sokongan kerjaya serta persekitaran kerja yang kondusif.