Media beretika, kunci tangani berita palsu

KUCHING: Pengamal media perlu terus memainkan peranan sebagai jambatan komunikasi antara rakyat dan kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menegaskan, media harus mengutamakan laporan yang tepat, beretika serta berteraskan nilai kemanusiaan dalam menghadapi cabaran era digital.

“Media bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan maklumat yang sahih, malah perlu menepis berita palsu.

“Langkah ini bagi mengelakkan laporan sensasi dan tidak menyentuh isu yang boleh menggugat keharmonian kaum,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Makan Malam Sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 Peringkat Sarawak dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 di Pullman Hotel di sini, malam ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof mewakili Premier Sarawak.

Menurutnya, perkembangan media sosial dan kecerdasan buatan (AI) kini memberi cabaran besar kepada industri kewartawanan.

Tegasnya, penyebaran maklumat palsu, manipulasi video dan audio, isu hak cipta serta ancaman terhadap peluang pekerjaan wartawan antara cabaran yang perlu dihadapi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan peranan wartawan tidak boleh digantikan sepenuhnya oleh teknologi kerana pertimbangan, etika dan integriti manusia kekal menjadi asas kepada kewartawanan yang berkualiti.

Pada majlis itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pengamal media, termasuk wartawan portal dan pencipta kandungan media sosial yang menyebarkan kandungan positif, selain mengenang rakan-rakan media yang telah meninggal dunia.