Program PPRS: Lima unit rumah kampung DUN Tellian dinaik taraf

MUKAH: Sebanyak lima unit rumah sedang dibaik pulih di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) sekitar kampung Dewan Undangan Negeri ( DUN) Tellian di sini.

ADUN Tellian, Royston Valentine berkata, rumah terbabit terletak di Kampung Tellian Ulu, Kampung Tellian Tengah dan Kampung Tellian Tradisi.

“Hari ini saya juga membuat lawatan pemeriksaan bagi pelaksanaan projek baik pulih rumah di bawah PPRMS DUN Tellian,” katanya di sini, hari ini.

Royston berkata, pemeriksaan itu merupakan langkah penting bagi memastikan rumah berkenaan dibina mengikut keperluan dan spesifikasi yang ditetapkan.

Sementara itu, menerusi fasa terbaharu program berkenaan, sebuah rumah siap bina telah diserahkan secara rasmi kepada penerimanya, Nurul Atiqah Abdullah di Skim Pembesaran Kampung (SPK) Petanak di sini, baru-baru ini.

Penyerahan unit kediaman di bawah PPRS Fasa 2/2024 dan Fasa 1/2025 itu dilaksanakan oleh kontraktor, Gemilang Jeffelen Enterprise dan disaksikan Royston.