DARO: Pesta Daro 2026 membuka tirainya dengan meriah, sekali gus menyerlahkan keunikan daerah itu sebagai antara lokasi tumpuan acara komuniti di Sarawak.
Majlis perasmian pesta tersebut disempurnakan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, yang menandakan bermulanya sambutan selama 10 hari bermula 16 hingga 26 Julai ini.
“Pesta Daro bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi wadah menyatukan masyarakat, menggerakkan ekonomi setempat serta memperkenalkan keunikan budaya, makanan dan produk tempatan Daerah Daro kepada pengunjung dari seluruh Sarawak,” katanya semasa merasmikan Pesta Daro 2026, di sini, hari ini.
Pesta Daro 2026 menghimpunkan 164 gerai pameran dan jualan yang menawarkan pelbagai produk, makanan, kraftangan serta perkhidmatan, dengan penyertaan daripada pelbagai agensi, komuniti dan usahawan dari seluruh Sarawak.
Penganjuran itu sekali lagi membuktikan kemampuan daerah berkenaan menjadi medan pertemuan masyarakat pelbagai latar belakang menerusi pelbagai aktiviti yang disusun sepanjang pesta itu.
Antara tarikani ialah Gerai Komuniti yang mengetengahkan pelbagai produk tempatan termasuk pipus, tausa piang, makanan tradisional serta hasil keluaran usahawan.
“Saya berharap penganjuran Pesta Daro akan terus menjadi platform mengukuhkan perpaduan masyarakat, merancakkan aktiviti ekonomi serta mengangkat Daerah Daro sebagai destinasi yang mempunyai keunikan budaya, makanan dan produk tempatan,” ujar beliau.
Menurutnya, penglibatan aktif komuniti dan usahawan tempatan bukan sahaja menyemarakkan suasana pesta, malah membuka peluang pemasaran yang lebih luas kepada produk keluaran daerah itu.
Beliau turut menyifatkan pesta tersebut sebagai medium terbaik untuk memperkenalkan identiti dan warisan masyarakat Daro kepada pengunjung dari seluruh negeri, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan tempatan.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, Pegawai Daerah Daro merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Daro 2026, Zul Usup, serta ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) Daerah Daro.
