DARO: Daro bakal menerima perubahan besar apabila rangkaian infrastruktur moden, tenaga hijau dan pembangunan ekonomi terus dirancang bagi menghubungkan daerah itu dengan kawasan lain di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan Sarawak hari ini berasaskan tiga teras utama iaitu ekonomi, infrastruktur dan pembangunan manusia bagi memastikan rakyat menikmati manfaat jangka panjang.
“Saya hanya bertindak sebagai perancang, tetapi yang memberikan sokongan, sumbangan dan input adalah rakyat Sarawak sendiri.
“Kejayaan kita bermula daripada perpaduan yang membolehkan kita merancang pembangunan dengan lebih tersusun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat DUN N43 Daro, di Tapak Pesta Daro, hari ini.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abdul Wahab serta tetamu kenamaan lain.
Menurut Premier Sarawak, pendekatan pembangunan mampan yang dilaksanakan negeri itu kini mendapat perhatian dunia apabila Sarawak diiktiraf sebagai negeri negatif karbon hasil keupayaan menghasilkan lebih banyak oksigen berbanding pelepasan karbon.
Transformasi tenaga negeri turut memberikan kesan kepada kawasan luar bandar apabila penggunaan tenaga hijau seperti solar membantu menyediakan bekalan elektrik lebih baik kepada masyarakat termasuk di rumah panjang, katanya.
“Dahulu banyak rumah panjang bergantung kepada generator diesel yang melibatkan kos tinggi dan pencemaran bunyi. Kini dengan tenaga hijau, rakyat luar bandar dapat menikmati kemudahan moden seperti bekalan elektrik yang lebih stabil,” katanya.
Kerajaan Sarawak katanya, turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan menerusi penyediaan pendidikan universiti percuma kepada anak Sarawak yang layak bagi melahirkan tenaga pakar dalam bidang kritikal seperti sains, teknologi dan kejuruteraan.
Selain itu, pembangunan strategik seperti Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Batang Lupar yang merupakan antara jambatan terpanjang di Malaysia akan mempercepat hubungan ekonomi serta mobiliti rakyat di kawasan Lembah Rajang.
Sarawak turut melaksanakan Sarawak Water Grid bernilai lebih RM1 bilion yang dijangka siap menjelang 2030 bagi memastikan bekalan air bersih menyeluruh, selain membuka peluang baharu menjadikan sumber air sebagai potensi ekonomi negeri.
Abang Johari turut memaklumkan Daro tidak lagi dilihat sebagai kawasan terpencil apabila jaringan jalan raya, jambatan dan pembangunan baharu termasuk jalan raya berkembar bakal meningkatkan akses ke kawasan itu serta merancakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan.
“Perancangan masa depan Sarawak turut melibatkan pembangunan teknologi tinggi seperti nano satelit atau CubeSat bagi mengumpul data bumi yang boleh digunakan untuk merancang pembangunan negeri dengan lebih tepat,” katanya.
Sarawak juga memberi perhatian kepada sektor penerbangan milik negeri bagi menyediakan pilihan perjalanan lebih baik kepada rakyat serta membuka lebih banyak laluan antarabangsa termasuk ke negara ASEAN dan Asia Timur.
Abang Johari menegaskan, dengan kekuatan sumber semula jadi, kestabilan politik dan perancangan pembangunan yang jelas, Sarawak berpotensi muncul sebagai wilayah maju seperti Bavaria di Jerman yang menjadi pemacu utama ekonomi negara itu.
