Pelbagai projek baharu bakal ubah wajah Daro

DARO: Daro kini mencatatkan nilai pelaburan pembangunan sekitar RM2.7 bilion menerusi pelbagai projek yang telah siap, sedang dilaksanakan dan bakal direalisasikan bagi manfaat masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pembangunan berterusan itu merangkumi kemudahan infrastruktur, ekonomi, pendidikan, kesihatan serta perumahan yang memberikan impak langsung kepada rakyat.

“Setiap kali Premier Sarawak datang ke Daro, pasti ada berita gembira untuk rakyat. Pada hari ini juga terdapat dua lagi projek bersejarah yang bakal memberikan manfaat besar kepada masyarakat Daro,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat DUN N.43 Daro, di sini, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, beberapa projek utama yang pernah diumumkan sebelum ini seperti Jambatan Batang Lassa dan Masjid Daerah Daro kini telah siap serta memberikan perubahan besar kepada kehidupan masyarakat khususnya dari segi perhubungan dan kemudahan awam.

Katanya, Jambatan Batang Lassa yang mula dibuka kepada orang ramai pada penghujung 2024 dan dirasmikan pada 2025 membantu meningkatkan aktiviti ekonomi tempatan termasuk sektor perniagaan kecil serta pengusaha inap desa.

“Pembangunan bukan sekadar membina kemudahan fizikal tetapi yang lebih penting ialah manfaat yang dirasai secara langsung oleh rakyat. Apabila pendapatan peniaga meningkat dan kos kehidupan dapat dikurangkan itulah kejayaan sebenar sesuatu pembangunan,” katanya.

Dr Safiee berkata, antara projek yang bakal memberikan nafas baharu kepada Daro termasuk pembangunan 40 unit premis kedai, 20 unit premis usahawan, tepian air, Pasar Tani bernilai RM15 juta serta Anjung Usahawan sebagai ruang baharu kepada peniaga tempatan.

Beliau turut memaklumkan kelulusan projek Pusat Digital dan Pusat Inovasi bernilai RM8.5 juta yang bakal menjadi kemudahan moden pertama di Daro dengan kemudahan lif, selain menaik taraf peranan perpustakaan sedia ada kepada pusat berasaskan teknologi.

“Daro sedang melalui satu fasa pembangunan yang amat pesat. Kita bukan sahaja membina infrastruktur, tetapi menyediakan ekosistem yang membolehkan masyarakat berniaga, belajar, berinovasi dan meningkatkan taraf hidup,” ujarnya.

Beliau sehubungan itu turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas perhatian terhadap keperluan masyarakat Daro, termasuk kelulusan tambahan bagi meneruskan projek infrastruktur seperti jalan raya, Sekolah Kebangsaan Penasu, kemudahan kesihatan dan Rumah Mampu Milik bernilai RM23.5 juta.

Dr Safiee berkata, sebanyak 59 unit rumah mampu milik akan dibangunkan untuk membantu rakyat memiliki kediaman sendiri dengan harga lebih rendah berbanding kos sebenar pembinaan.

Beliau menambah, pembangunan Daro akan terus dipacu dengan pelbagai kemudahan baharu termasuk stadium yang telah siap dinaik taraf, klinik kesihatan baharu bernilai sekitar RM50 juta serta cadangan pembinaan masjid baharu bagi memenuhi pertambahan penduduk.

Katanya, perkembangan pesat Daro turut dapat dilihat menerusi penganjuran Pesta Daro yang kini menarik lebih ramai pengunjung serta peniaga dari luar Sarawak, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada komuniti.

“Apabila semua projek yang dirancang siap sepenuhnya, saya yakin wajah Daro akan berubah menjadi sebuah kawasan yang lebih maju dan menjadi tumpuan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Dr Safiee turut menyifatkan pandangan jauh kepimpinan Sarawak dalam bidang ekonomi digital dan teknologi hijau sebagai faktor penting dalam memastikan negeri itu bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Beliau berkata, keputusan memperkenalkan agenda ekonomi digital sejak awal membuktikan kepentingannya apabila masyarakat kini semakin menerima penggunaan teknologi termasuk pembayaran digital dalam urusan harian.

Menurut beliau, pembangunan yang dirancang hari ini adalah hasil daripada perancangan jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Beliau sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, agensi kerajaan, ketua masyarakat serta semua pihak yang bersama-sama menjayakan pembangunan Daro demi kesejahteraan rakyat.