KUCHING: Pelancaran penerbangan sulung AirBorneo dari Kuching ke Kuala Lumpur pada hari ini merupakan pencapaian yang amat bermakna dan bersejarah buat rakyat Sarawak.
Pengerusi AirBorneo Airways merangkap Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pencapaian pada hari ini merupakan hadiah amat istimewa buat seluruh rakyat Sarawak yang akan menyambut perayaan Hari Sarawak dua hari lagi.
“Pencapaian itu termasuk kepada pemimpin serta semua anak Sarawak terdahulu yang telah berjuang, berkorban dan meletakkan asas yang kukuh demi kemajuan dan kemakmuran Sarawak, katanya dalam ucapan alu-aluanya pada majlis Pelancaran Rasmi Penerbangan Sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur di sini hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patingg Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyempurnakan majlis pelancaran penerbangan sulung itu kemudian menaiki penerbangan berkenaan dari Kuching ke Kuala Lumpur.
Mohamad Abu Bakar berkata, pencapaian ini amat membanggakan kerana ia membuktikan penglibatan dan keupayaan Sarawak dalam membangunkan serta mengendalikan sebuah industri yang begitu teknikal dan kompleks.
Dengan dua penerbangan Kuching-Kuala Lumpur setiap hari, beliau berkata, AirBorneo kini menyediakan perkhidmatan menyeberangi Luat China Selatan untuk mengukuhkan kesalinghubungan antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Penerbangan AirBorneo itu memainkan peranan sebagai ‘Jambatan yang Menghubungkan Masyarakat’, katanya dan menambah, penerbangan Kuching-Kuala Lumpur itu menggunakan pesawat Boeing 737-800.
Menurut beliau lagi, pelancaran sulung penerbangan itu bukan hanya mencermin perjalanan panjang AirBonreo dalam mengukuhkan kesalinghubungan negeri ini tetapi juga sebagai tanda penglibatan AirBorneo dalam era penerbangan komersial.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, perjalanan AirBorneo pasti lebih mencabar namun yakin AirBorneo akan terus berkembang, melebarkan sayap dan terbang tinggi demi mencapai kejayaan yang lebih besar.
AirBorneo menzahirkan rasa penghargaan kerana diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan dalam merealisasikan aspirasi penubuhan penerbangan itu, katanya.
Hadir sama Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Airways, Megat Ardian Wira Mohd. Aminuddin.
