KUCHING: Sambutan Hari Sarawak 2026 menjadi platform untuk mengingatkan rakyat agar terus bersatu dan berganding bahu dalam membawa Sarawak ke arah masa depan yang lebih maju.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sambutan Hari Sarawak menjadi medan untuk rakyat mengenang perjalanan negeri dalam membina masa depan yang makmur dan stabil.
“Tanggal 22 Julai bukan sekadar hari memperingati sejarah, malah menjadi simbol semangat rakyat Sarawak yang sentiasa bersatu hati, saling menghormati dan berganding bahu demi kemajuan Sarawak yang kita cintai,” katanya menerusi Perutusan Khas Sempena Sambutan Hari Sarawak 2026.
Menurut beliau, kepelbagaian kaum, budaya dan agama merupakan kekuatan utama yang menjadi identiti Sarawak.
Beliau turut mengajak rakyat terus mengamalkan semangat Segulai Sejalai demi memperkukuhkan perpaduan dan pembangunan negeri.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak kekal komited melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) bagi memacu pertumbuhan negeri.
“Kerajaan Sarawak komited untuk mentransformasikan Sarawak sebagai sebuah wilayah maju berpendapatan tinggi yang dipacu oleh ekonomi digital, tenaga hijau, inovasi, pembangunan modal insan dan tadbir urus yang cekap,” ujarnya.
Beliau berkata, kejayaan agenda pembangunan itu memerlukan iltizam, keyakinan dan kerjasama semua pihak agar Sarawak terus berkembang sebagai wilayah yang maju, mampan dan berdaya saing.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh rakyat agar terus berganding bahu menjayakan aspirasi pembangunan negeri demi kesejahteraan generasi hari ini dan masa hadapan.
Mengakhiri perutusannya, Premier mengucapkan Selamat Hari Sarawak 2026 kepada seluruh rakyat serta berharap semangat perpaduan dan kebersamaan akan terus menjadi pemangkin kepada aspirasi Sarawak Maju Makmur.
