BIHAS platform kukuhkan kedudukan Borneo hab halal serantau

KUCHING: Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) 2026 di sini menandakan permulaan perjalanan mengukuhkan perkongsian, pertukaran idea dan menggalakkan inovasi, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurutnya, kaedah itu bagi membina ekosistem halal yang berdaya tahan, mampan dan hubungan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, penyertaan yang menggalakkan bukan hanya mencerminkan minat mendalam dalam BIHAS tetapi potensi besar dalam industri halal.

“BIHAS berharap peserta memperoleh idea baharu, perkongsian bermakna dan peluang perniagaan baharu, katanya dalam ucapan aluannya pada majlis perasmian BIHAS oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini.

Bertemakan ‘Kelestasrian Ekosistem Halal Borneo’, BIHAS 2026 disertai oleh 33 penceramah terkemuka antarabanga dan negara, 133 pempamer dan 415 perwaklan.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, tema itu juga mencerminkan perkongsian visi Sarawak untuk meletakkan Borneo sebagai hab halal yang kompetitif, inovatif dan mampan.

Pada majlis itu, sebanyak tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan perusahaan luar negara dan dewan-dewan perniagaan dimeterai dengan potensi komitmen dianggarkan bernilai kira-kira RM36.8 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.