KUCHING: Sarawak merancang memperluaskan penanaman padi saka di Baram yang mengeluarkan beras rendah kanji dan lebih sihat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ketika ini penanaman padi saka sedang diuji di Baram yang hanya perlu ditanam sekali tetapi boleh dituai sehingga lima tahun dengan tempoh matang hanya lapan minggu.
Katanya, kajian juga menunjukkan kawasan lain seperti Daro sesuai untuk tanaman ini.
“Jika berjaya diperluaskan, ia dapat meningkatkan bekalan makanan dan menghasilkan beras yang lebih sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) 2026 di Hotel Waterfront di sini, hari ini.
Selain itu, Abang Johari berkata Sarawak juga menjalankan kajian menghasilkan ubatan baharu menggunakan sumber semula jadi dari Hutan Borneo yang mempunyai potensi besar untuk pembangunan perubatan masa depan.
“Dalam pemasaran, kita tidak perlu sasarkan seluruh dunia. Fokus kepada pasaran berhampiran seperti ASEAN, China dan India sudah cukup besar,” tambahnya.
Menurutnya, konsep halal juga perlu dilihat secara lebih luas bagi sesuatu produk baik dan berkualiti dari Sarawak boleh diterima oleh semua, bukan hanya umat Islam.
Beliau berkata bagi menyokong usaha ini, Sarawak memberi penekanan kepada pendidikan dan penyelidikan melalui pendidikan tinggi percuma disediakan kepada anak Sarawak khususnya dalam bidang sains.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
