Premier umum hadiah istimewa buat rakyat Sarawak malam ini

SIBU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, membayangkan satu pengumuman khas yang disifatkan beliau sebagai hadiah istimewa untuk rakyat akan dibuat pada sambutan Hari Sarawak malam ini, susulan prestasi kewangan negeri yang terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan.

Beliau berkata, pengumuman itu berkait rapat dengan kejayaan Sarawak menggandakan hasil negeri daripada RM7 bilion pada 2020 kepada RM14 bilion ketika ini, sekali gus mencerminkan keberkesanan dasar ekonomi dan strategi kerajaan negeri dalam memperkukuh sumber pendapatan.

Menurutnya, pencapaian tersebut bukan kemuncak kepada agenda pembangunan Sarawak kerana masih terdapat beberapa inisiatif lain yang sedang dirancang untuk terus memacu kemajuan negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kita punya pendapatan daripada RM7 bilion kepada RM14 bilion. This is not the end…there is some more.

“Mungkin ada special gift (hadiah istimewa) saya kepada orang Sarawak, saya akan announce (umumkan) malam ini,” katanya ketika Sesi Townhall Hari Sarawak di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata kejayaan memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri memberi ruang kepada kerajaan untuk menyalurkan lebih banyak manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum sejak 1 Januari 2019 menjadi antara pemangkin utama peningkatan hasil negeri apabila Sarawak berjaya memanfaatkan haknya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.