TikTok Challenge UKAS perhebat komunikasi digital, inspirasi kandungan berkualiti

KUCHING: Penganjuran TikTok Challenge UKAS menjadi platform untuk mendekatkan kerajaan dengan masyarakat khususnya golongan belia, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.

Jelas beliau, selain menggalakkan penghasilan kandungan digital yang kreatif, penganjuran tersebut turut mensasarkan maklumat berinformasi dan berunsurkan nilai kemanusiaan.

“Setiap individu hari ini memiliki telefon pintar yang membolehkan maklumat disampaikan dengan pantas.

“Namun dalam mengejar kemajuan teknologi, kita juga tidak boleh melupakan pembangunan rohani kerana keseimbangan antara kemajuan fizikal dan kekuatan jiwa amat penting,”katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan video Tiktok Challange 2.0 Inspirasi Anak Sarawak sempena Hari Sarawak 2026 di galeri Pustaka Negeri Sarawak, di sini , hari ini.

Tambahnya, UKAS turut menggunakan platform digital bagi mendapatkan maklum balas masyarakat, terutama berkaitan isu dan keperluan di kawasan luar bandar.

Pendekatan sebegini sekali gus menurutnya dapat membantu kerajaan menyalurkan penyelesaian kepada agensi berkaitan.

“Masyarakat perlu berwaspada terhadap penyebaran maklumat palsu dan propaganda di media sosial,” katanya.

Abdullah turut mengumumkan bahawa TikTok Challenge Hari Malaysia akan diadakan sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.

Beliau turut menyalurkan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 hasil sumbangan peribadinya bagi tujuan tersebut, selain mengalu-alukan lebih banyak penajaan bagi memperkasakan program itu pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengarah UKAS,
Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, seramai 195 telah mendaftar, manakala 128 video diterima membabitkan 83 penyertaan kategori awam dan 45 kategori pelajar.

“Selepas proses saringan, sebanyak 117 penyertaan memenuhi syarat pertandingan untuk dinilai panel juri dengan 73 penyertaan kategori awam dan 44 kategori pelajar,”ujarnya.

Katanya, jumlah penyertaan tahun ini turut meningkat hampir 146 peratus berbanding 52 penyertaan yang diterima pada tahun lepas.