PITC 2026 tarik penyertaan serantau

KUCHING: Kejohanan Tenis Jemputan PTBS Ke-3 (PITC) 2026 bakal menghimpunkan kira-kira 200 atlet dan 300 penonton dari Semenanjung Malaysia, Sabah serta Indonesia.

Kejohanan anjuran Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS) itu berlangsung dari 6 hingga 9 Ogos ini di Gelanggang Tenis PTBS dan Kelab Golf Sarawak dengan format acara berpasukan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, PTBS sejak 1978 memainkan peranan penting dalam melahirkan bakat dan membangunkan sukan tenis negeri.

“PITC bukan sekadar pertandingan, tetapi platform untuk pemain berpengalaman meneruskan saingan serta memberi inspirasi kepada generasi muda menerusi disiplin, semangat kesukanan dan kecintaan terhadap tenis,” katanya pada sidang media Kejohanan Tenis Jemputan PTBS Ke-3 (PITC) 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejohanan berkenaan mencerminkan komitmen Sarawak memperkukuhkan ekosistem sukan melalui pembangunan atlet, aktiviti akar umbi serta penganjuran acara bertaraf serantau.

Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM17,000 dengan RM6,000 kepada juara, membabitkan empat kategori beregu mengikut umur termasuk beregu lelaki dan campuran.

“Penganjuran PITC 2026 bukan sahaja memberi impak kepada sukan malah merancakkan ekonomi tempatan serta mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan,” tambahnya.

Abdul Karim berkata, penyertaan pasukan dari Samarahan, Sibu, Mukah, Bintulu dan PTBS membuktikan perkembangan bakat tenis yang semakin meluas di seluruh negeri.

Menurutnya, tenis kekal sebagai sukan penting dalam melahirkan atlet yang mampu membawa nama Sarawak dan Malaysia ke peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Sehubungan itu, PITC 2026 dijangka berlangsung meriah dengan persaingan sengit, jaringan persahabatan serantau dan usaha berterusan memperkukuhkan kecemerlangan sukan tenis Sarawak. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI