Generasi berilmu, mahir bantu kejayaan Sarawak

SIBU: Dengan memiliki kekayaan sumber semula jadi, kejayaan masa depan negeri Sarawak kini bergantung kepada keupayaan melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran tinggi yang menguasai teknologi, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sumber semula jadi yang boleh dibangunkan sebagai ekonomi baharu negeri ialah hutan hujan tropika, sumber air, tenaga boleh baharu serta kekayaan sumber bawah tanah.

“Sumber semula jadi inilah kekuatan Sarawak yang perlu dilengkapi dengan ilmu,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Ke-61 Tahun 2026 di sini, hari ini.

Justeru, beliau menggesa anak-anak Sarawak supaya menguasai teknologi terkini untuk menyelesaikan cabaran masa depan dan mengurus ekonomi secara mampan.

Penguasaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta kecerdasan buatan (AI) katanya, perlu diperkasakan bagi melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang mampu menerajui pembangunan Sarawak serta memenuhi keperluan ekonomi masa depan.

“Perubahan iklim yang semakin ketara menuntut lebih ramai tenaga mahir dalam bidang STEM, termasuk teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), teknologi hidrogen serta AI,” tambahnya.

Kerajaan Sarawak, katanya akan terus memperkukuhkan inisiatif pendidikan menerusi
Program Dwibahasa (DLP), Program Inisiatif Pembelajaran Sarawak (SLIP) serta penubuhan Pusat Sains Sarawak bernilai lebih RM200 juta.

Pendedahan awal kepada teknologi akan membolehkan pelajar luar bandar menguasai bidang berteknologi tinggi, katanya.

Beliau menambah, Sarawak akan berusaha melahirkan lebih ramai saintis, jurutera, inovator dan usahawan teknologi tanpa mengira latar belakang dan agama.

Selain itu, katanya, kerajaan Sarawak meneruskan pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan negeri dengan peruntukan RM260 juta tahun ini, melibatkan kira-kira 10,000 pelajar.

Ini menerusi pengambilan pertama dan kedua dalam 64 bidang pengajian yang diperlukan untuk menyokong pembangunan negeri.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Abdul Rahman Junaidi, Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli, Pengetua SMK St Augustine merangkap Yang Dipertua Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak, Ujai Sambau.