SADONG JAYA: Sebanyak dua projek Program Transformasi Luar Bandar ( RTP) dan dua Projek Mesra Rakyat (PMR) sudah siap dan diserahkan kepada pihak berwajib di sini, hari ini.
Keseluruhan projek berkenaan bernilai RM420,000.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyaah Sapiee berkata, projek RTP terbabit ialah Naik Taraf Pondok Keselamatan Dan Ruang Menunggu Murid di Sekolah Kebangsaan SK Gunong Ngeli, Simunjan dengan harga RM100,000.
“Projek sudah siap bagi memberi keselamatan, keselesaan dan tempat berbumbung kepada warga sekolah, murid dan ibu bapa yang menunggu murid,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Serah Siap Projek dan Penyerahan Cek di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Klinik Sadong Jaya di sini, hari ini.
Rodiyah berkata, projek RTP kedua ialah Naik Taraf Dataran Dan Dewan Di Kampung Selangking, Simunjan dengan kos sebanyak RM150,000.
Manakala, projek PMR ialah Kerja-kerja Menurap Tapak Letak Kereta Rumah Panjang Sungai Buluh, Simunjan dengan kos RM50,000 dan Projek Kerja-Kerja Naik Taraf Ruang Terbuka (Pembinaan Bumbung) di Hadapan Bangunan Warga Emas Klinik Kesihatan Sadong Jaya dengan kos RM120,000.
“Setiap minggu ada aktiviti (warga emas) di sini, jadi saya membuat keputusan membuat kawasan yang berbumbung, supaya senang warga emas membuat aktiviti pagi, tengah hari dan petang,” tambahnya.
Beliau juga menyerahkan sebanyak 37 cek kepada Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) enam sekolah menengah dan 31 sekolah rendah serta cek PMR kepada tujuh masjid dan satu gereja di Parlimen Sadong Jaya.
