SINGAPURA: Sarawak mengadakan pertemuan strategik bersama IBM Singapura bagi menerokai potensi kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan keselamatan siber.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel bagi pihak Kerajaan Sarawak mengadakan pertemuan dengan Managing Partner IBM Consulting ASEAN, Abraham Thomas, bersama Partner IBM Global Business Services, Balasubrahmanyam Pappu serta barisan kepimpinan kanan syarikat berkenaan di ibu pejabat IBM Singapura di Marina Boulevard hari ini.
Dalam sesi tersebut, IBM berkongsi pengalaman transformasi globalnya dengan menekankan kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada pengurusan perubahan menerusi pengurangan kerumitan operasi.
Selain itu, penyederhanaan aliran kerja menyeluruh, automasi proses manual serta penggunaan AI bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada tiga bidang strategik yang dikenal pasti sebagai keutamaan bersama iaitu AI sebagai pelaburan jangka panjang, pembangunan platform pengkomputeran kuantum serta pengukuhan keupayaan keselamatan siber bagi melindungi infrastruktur digital kritikal dan perkhidmatan digital masa hadapan.
Menurut Dr Muhammad Abdullah, Sarawak komited membangunkan ekonomi digital yang berdaya tahan dan dipacu inovasi selaras Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau berkata, teknologi canggih seperti AI dan pengkomputeran kuantum mampu meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Selain itu katanya, menarik pelaburan bernilai tinggi serta memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab digital yang kompetitif di peringkat serantau.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan peluang perkongsian pengetahuan, pemindahan teknologi serta kerjasama strategik antara IBM Singapura dan agensi-agensi Sarawak dalam usaha membangunkan keupayaan digital yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC), Prof. Dr. Patrick Thein, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS), Chew Chang Guan serta Ketua Pegawai Teknologi Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS), Than Shau Bui. – UKAS
