KUCHING: Pusat Sains Sarawak akan menjadi pemangkin melahirkan bakat STEM bagi memacu ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, pusat itu dibangunkan sebagai ‘bilik darjah hidup’ yang membolehkan pelajar mempelajari sains secara praktikal di luar bilik darjah.
“Pusat ini akan menjadi sebuah bilik darjah hidup yang membolehkan pelajar mengalami pembelajaran sains melangkaui kandungan buku teks.
“Ia turut memperkasakan guru serta menghubungkan generasi muda kepada peluang dalam robotik, pengekodan, bioteknologi dan tenaga boleh baharu,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Sains Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pembangunan bakat dalam bidang berimpak tinggi itu penting bagi melahirkan tenaga kerja masa hadapan yang mampu memacu transformasi ekonomi Sarawak berasaskan teknologi dan inovasi.
Roland berkata, Pusat Sains Sarawak bukan sekadar ruang pameran sebaliknya pusat pembelajaran inklusif yang memupuk budaya ingin tahu, menyokong pendidik dan mendekatkan masyarakat dengan sains.
Penubuhan pusat itu katanya, turut memperkukuhkan ekosistem pendidikan STEM melalui kerjasama strategik bersama rakan antarabangsa dari Brunei, Finland, Singapura dan Thailand.
