KUCHING: Pusat Sains Sarawak menjadi pemangkin melahirkan generasi saintis baharu yang mampu meneroka teknologi masa depan untuk memanfaatkan kekayaan sumber negeri bagi menangani cabaran global selepas 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan pusat berkenaan merupakan aset strategik pembangunan modal insan bagi melahirkan generasi muda berkemahiran dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
Beliau berkata, Pusat Sains Sarawak bukan sekadar pusat pembelajaran sebaliknya platform membina sifat ingin tahu anak muda untuk meneroka ilmu sains serta mencipta penyelesaian baharu berasaskan sumber negeri.
“Penubuhan pusat ini mencerminkan perjalanan untuk mengetahui perkara yang belum diketahui, menambah nilai kepada apa yang ada di Sarawak.
“Ia menjadi asas kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan modal insan masa hadapan,” katanya semasa berucap ketika merasmikan Pusat Sains Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kedudukan Sarawak di Pulau Borneo dengan hutan hujan tertua, sumber air yang banyak serta kekayaan biodiversiti memberikan kelebihan strategik dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem dunia.
“Cabaran kita ialah bagaimana memanfaatkan sumber yang dimiliki Sarawak agar memberi manfaat kepada dunia dan manusia. Kita memerlukan saintis muda Sarawak yang dilengkapi teknologi terkini untuk meneroka potensi ini,” tambahnya.
Selain itu, Premier Sarawak berkata, kerajaan negeri turut memberi fokus terhadap teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan penggunaan data sebagai asas menghasilkan inovasi yang mampu menjawab cabaran global.
“Kerajaan membangunkan pusat sains ini kerana kita mahu melahirkan ‘Einstein Baharu’ dan ‘Saintis Baharu’ daripada Sarawak yang mampu membantu menghadapi cabaran dunia hari ini.
“Pusat ini menjadi tempat untuk meneroka, mencipta dan berinovasi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sasaran Sarawak melancarkan satelit nano menjelang 2030 bagi mengumpul data dari orbit rendah bumi yang boleh digunakan untuk penyelidikan sumber negeri termasuk potensi mineral strategik seperti nadir bumi.
Katanya, data kini merupakan “minyak baharu” yang membantu Sarawak memahami sumber dimiliki serta membangunkan produk bernilai tinggi melalui penyelidikan dan teknologi.
Pusat Sains Sarawak turut menyediakan kemudahan asrama bagi memberi peluang kepada pelajar luar bandar mengenali teknologi baharu, sekali gus memastikan akses sains dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pusat berkenaan bukan sahaja untuk Sarawak atau Malaysia tetapi menjadi hab kerjasama antarabangsa bagi saintis menggunakan Borneo sebagai lokasi penyelidikan masa hadapan.
