LUBOK ANTU: Seramai 306 penerima daripada 13 rumah panjang menerima surat hak milik tanah bagi kawasan pembangunan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) di Wilayah Sri Aman, di sini, hari ini.
Penyampaian itu sempena Sambutan Jubli Emas Ke-50 SALCRA, di Kilang Kelapa Sawit 2 Merindun.
Majlis penyerahan berlangsung dengan kerjasama SALCRA dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sri Aman itu disempurnakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Program berkenaan merupakan antara pengisian utama Sambutan 50 Tahun SALCRA yang menzahirkan komitmen berterusan agensi itu dalam memperkukuh hak pemilikan tanah serta meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar.
Majlis itu turut menjadi platform bagi mengiktiraf pemilikan sah tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang dibangunkan di bawah kawasan pembangunan SALCRA, sekali gus memberikan jaminan keselamatan pemilikan kepada peserta.
Sebanyak 417 lot tanah melibatkan keluasan keseluruhan 903 hektar telah didaftarkan dengan melibatkan seramai 337 pemilik tanah berdaftar daripada tiga estet pembangunan SALCRA iaitu Batang Ai, Batu Kaya dan Lemanak.
Daripada jumlah tersebut, 34 lot tanah seluas 31 hektar di bawah Seksyen 13 Kanun Tanah Sarawak diserahkan kepada 34 penerima membabitkan 37 pemilik tanah berdaftar daripada sebuah rumah panjang.
Sementara itu, baki 383 lot tanah berkeluasan 872 hektar di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak diserahkan kepada 272 penerima yang melibatkan 300 pemilik tanah berdaftar daripada 12 rumah panjang.
Majlis berkenaan melibatkan kawasan pembangunan SALCRA di Parlimen Lubok Antu, merangkumi DUN Batang Ai dan DUN Engkilili.
Menurut JTS, inisiatif pengeluaran surat hak milik tanah itu selaras dengan Ordinan SALCRA 1976 yang memberi penekanan kepada penyukatan, pengesahan dan pendaftaran tanah NCR secara terancang serta mampan.
Sejak tahun 2020, SALCRA turut mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak bagi membolehkan Kumpulan Jurukur SALCRA menjalankan kerja pengukuran kadaster, sekali gus mempercepatkan proses pengukuran dan pengesahan tanah di kawasan pembangunan agensi berkenaan.
Pameran Program Outreach 50 Tahun SALCRA melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, anak syarikat SALCRA dan sektor swasta turut diadakan.
Antara pengisian pameran ialah kaunter perkhidmatan pembangunan peserta, khidmat teknikal dan kejuruteraan, pemasaran produk, promosi baja organik, anak benih kelapa sawit, koperasi serta kemudahan latihan dan pembangunan kapasiti.
