LAWAS: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Limbang diminta mengemukakan pelan cadangan tindakan membersihkan dan membaiki loji rawatan air wilayah Trusan di sini.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, ini kerana loji terbabit mempunyai isu mendapan lumpur dan pasir di kolam takungan di kawasan rumah pam yang perlu dibersihkan.
Katanya, JBALB Bahagian Limbang juga diminta mengemukakan laporan kos yang diperlukan untuk kerja memperbaiki rumah pam terbabit serta dibina pontun terapung untuk pam air.
“Kita akan bawa laporan ini untuk dilihat bersama Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga sentiasa menerima aduan berhubung isu bekalan air yang sering terganggu di Lawas,” katanya.
Henry Sum berkata demikian ketika melawat ke loji rawatan air wilayah Trusan dan mendapat penjelasan dari Jurutera Air JBALB Bahagian Limbang Ts. Ahmad Hafidzur Rahman Nidhom tentang punca sebenar gangguan bekalan air di sini.
Selain itu, beliau juga mahu isu melibatkan runtuhan tebing sungai Trusan di kawasan berhampiran loji harus diselesaikan dengan kadar segera.
“Kerja mengali mendapan, pembinaan pontun terapung dan mengukuhkan benteng tebing sungai yang runtuh di kawasan loji dijangka dapat disiapkan pada Oktober tahun ini,” tambahnya.
Henry Sum berkata, masalah bekalan air, bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi perlu diberi perhatian serius kementerian bertanggungjawab di Lawas.
