Jumlah pelajar SMK Beladin terima insentif meningkat

BELADIN: Peningkatan penerima Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beladin tahun ini mencerminkan budaya kecemerlangan akademik semakin kukuh.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, seramai 52 pelajar menerima insentif tahun ini berbanding 40 orang tahun lalu, dengan nilai keseluruhan meningkat daripada RM8,800 kepada RM15,800.

Beliau berkata, peningkatan itu membuktikan usaha gigih pelajar, guru dan ibu bapa memastikan pencapaian akademik dipertingkatkan.

“Di sebalik keputusan peperiksaan, ada pengorbanan pelajar, guru dan ibu bapa yang menjadi kunci kejayaan ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan SPM di SMK Beladin, hari ini.

Mohamad Shafizan berkata, insentif bukan sekadar ganjaran, sebaliknya dorongan kepada pelajar terus menuntut ilmu dan mengharumkan nama Beladin serta Batang Lupar.

Beliau memuji komitmen Kerajaan Sarawak yang terus memperkasakan sektor pendidikan melalui pelbagai inisiatif termasuk pendidikan tinggi percuma secara berperingkat, bantuan kewangan, biasiswa dan bantuan komputer riba kepada pelajar.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Beladin serta RM9,000 bagi pelaksanaan Bengkel Kecemerlangan SPM.

Beliau berkata Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar terus menyokong pendidikan melalui pemberian insentif.