KUCHING: Program Minggu Sains Negara (MSN) 2026 Zon Sarawak akan diperluaskan secara karnival bergerak ke tiga kawasan di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata tiga kawasan terbabit ialah Meradong, Bintulu dan Belaga.
“Karnival bergerak yang melibatkan kawasan Meradong, Bintulu dan Belaga melibatkan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan MSN 2026 di Pusat Sains Sarawak, di sini, hari ini.
Roland Sagah berkata, MSN 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh literasi serta minat masyarakat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan Dan Matematik (STEM).
Mengulas tema MSN tahun ini, beliau berkata tema itu memfokuskan kepada advokasi tenaga nuklear dan inisiatif tersebut penting dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap penggunaan teknologi nuklear secara selamat dan aman.
