Hari Pahlawan Sarawak angkat jasa pengorbanan perwira

KUCHING: Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Sarawak 2026 berlangsung penuh istiadat di Dataran Perayaan, Petra Jaya hari ini bagi mengenang jasa serta pengorbanan pahlawan yang mempertahankan kedaulatan negara.

Istiadat anjuran Divisyen Pertama Infantri Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Sambutan bertemakan “Mengenang Jasa, Mengukuh Pertahanan” itu menjadi medan menghargai keberanian serta pengorbanan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), veteran dan semua pihak yang pernah berbakti mempertahankan keamanan serta keselamatan negara.

Seramai 460 anggota menyertai perbarisan melibatkan empat detasmen yang diketuai Lt Kol Ferry Shahrul Rizal Roslan, manakala Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja diberi penghormatan melaksanakan Kawalan Kehormatan Utama dengan iringan Pancaragam PDRM Kontinjen Sarawak.

Istiadat dimulakan dengan Hormat Diraja dan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak sebelum diteruskan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Tiupan Paluan Akhir, persembahan koir, tayangan montaj perwira serta deklamasi sajak.

Majlis turut memperkenalkan rakyat Sarawak yang menerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) sebelum diteruskan dengan Tiupan Paluan Fajar dan bacaan doa sebagai simbol penghormatan kepada jasa para perwira negara.

Tiupan Paluan Akhir membawa maksud penghormatan kepada anggota yang gugur mempertahankan tanah air, manakala Tiupan Paluan Fajar melambangkan semangat untuk meneruskan amanah serta mempertahankan keamanan yang diwariskan oleh pahlawan.

Divisyen Pertama Infantri Malaysia menggesa masyarakat agar terus menghargai nikmat keamanan melalui semangat patriotisme, perpaduan dan tanggungjawab bersama memelihara kedaulatan negara.

Selain itu, orang ramai berpeluang menyaksikan pameran pelbagai aset ketenteraan yang diadakan sempena sambutan tersebut.