SPAOH: Program Borneo Interwoven: Jalinan Borneo 2026 menjadi platform memperkukuhkan industri tekstil tradisional, pewarna semula jadi serta warisan budaya Sarawak melalui penyertaan penggiat tempatan dan antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, lebih menarik program di Rumah Panjang Mendit Unsu, Penom, Ulu Paku itu dihadiri peserta dari Perancis, New Zealand, Ireland, Singapura dan Indonesia.
“Penyertaan antarabangsa membuka ruang pertukaran ilmu, pengalaman serta jaringan kerjasama bagi meningkatkan kualiti dan nilai komersial tenunan tradisional,” kata semasa menyempurnakan penutupan program berkenaan di sini, hari ini.
Uggah berkata, Sarawak berpotensi menjadi pengeluar pewarna semula jadi bertaraf dunia jika sumber dimanfaatkan secara lestari dengan sokongan penyelidikan dan inovasi.
Namun, industri tenunan masih berdepan cabaran seperti kekurangan bahan mentah, tempoh penghasilan panjang dan kekangan skala ekonomi.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa bagi memperkenalkan teknologi sesuai tanpa menjejaskan nilai warisan, sekali gus meningkatkan daya saing produk tempatan.
Tambahnya, usaha memperkasa industri kreatif ini selaras dengan PCDS 2030, selain memberi fokus kepada pembangunan wanita melalui latihan kemahiran dan keusahawanan.
Rumah Panjang Mendit Unsu yang bakal menyambut ulang tahun ke-100 turut menjadikan program ini detik bersejarah dalam pemeliharaan warisan tekstil dan budaya masyarakat Dayak.
