KUCHING: Kontinjen Para Sarawak hanya berbaki 32 hari untuk memperkemaskan persiapan menjelang Temasya Para SUKMA Ke-22 Selangor 2026 dengan misi jelas mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang dimenangi pada edisi 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, baki tempoh itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kecergasan fizikal, kekuatan mental, teknik serta keyakinan atlet sebelum beraksi di Selangor dari 5 hingga 10 September depan.
“Kita ke Selangor bukan untuk melepaskan kejuaraan, tetapi untuk mempertahankannya.
“Kita mahu seluruh Malaysia melihat bahawa atlet para Sarawak memiliki keupayaan luar biasa, semangat yang tinggi dan daya juang yang tidak pernah luntur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kem Motivasi Kontinjen Para Sarawak dan Program Kira Detik 32 Hari Lagi Menjelang Temasya Para Sukma Ke-22 Selangor 2026,di sini, hari ini.
Menurutnya, Sarawak akan bertanding dalam 10 jenis sukan iaitu boccia, badminton para, boling padang para, catur para, memanah para, olahraga para, ping pong para, powerlifting para, renang para dan tenpin boling, sambil mengingatkan atlet bahawa mereka membawa nama negeri setiap kali melangkah ke gelanggang.
Fatimah turut mengingatkan kontinjen supaya menjadikan pencapaian 82 pingat emas, 53 perak dan 74 gangsa pada Para SUKMA 2024 sebagai pembakar semangat, selain mengekalkan pegangan “Agi Idup, Agi Ngelaban” dalam menghadapi setiap cabaran sepanjang temasya.
Sementara itu,Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ketua Kontinjen Para Sukma Sarawak, Datuk Dr Mohd Razi Sitam menjelaskan, kontinjen negeri kali ini dianggotai 383 orang, termasuk 315 atlet dan pegawai, selain pegawai perubatan, fisioterapi, ahli psikologi sukan, jururawat, pegawai perhubungan serta pegawai sokongan.
“Kita bukan datang sekadar untuk mengambil bahagian, tetapi hadir dengan tekad, disiplin dan semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan kejuaraan serta melakar sejarah sebagai juara keseluruhan buat kali ke-15,” ujarnya.
Beliau berkata, persiapan logistik kini berada pada fasa akhir selepas lawatan penyelarasan ke Sekretariat Para SUKMA Selangor, termasuk pemeriksaan tempat pertandingan, aksesibiliti atlet para, penginapan dan laluan pergerakan kontinjen.
Menurutnya, semua atlet dan pegawai akan ditempatkan di Hotel Geno sebagai pusat operasi rasmi bagi memudahkan penyelarasan manakala kerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor turut diadakan bagi memastikan perjalanan ke tempat pertandingan berjalan lancar dan menepati jadual.
Selain itu, kontinjen turut mengadakan lawatan ke Prasarana Malaysia Berhad bagi menilai kemudahan pengangkutan awam mesra Orang Kelainan Upaya (OKU), sekali gus memastikan setiap atlet dapat bergerak dengan selamat, selesa dan yakin sepanjang misi mempertahankan kejuaraan Para SUKMA XXII Selangor 2026.
