MA63: Perkara belum selesai wajar diberi keutamaan

PUTRAJAYA: Semua perkara yang berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63) yang masih belum dimuktamadkan wajar diberi keutamaan agar dapat diselesaikan sebelum Disember 2026.

Tmbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini kerana rundingan berkaitan pelaksanaan MA63 itu berlangsung selama hampir sedekad sejak tahun 2016.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 2 Tahun 2026 di sini, semalam.

Selain Douglas Uggah, Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian turut hadir.

Mesyuarat dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63, Datuk Mohd Yunus Sakmud.

Turut menganggotai delegasi Sarawak ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan),Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Peguam Besar Sarawak, Datu Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Negeri, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak.

Kerajaan Sabah pula diwakili Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah, menteri-menteri negeri dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Sabah, manakala Kerajaan Persekutuan diwakili oleh menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri serta ketua-ketua jabatan Persekutuan.

Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia mesyuarat turut membentangkan status terkini pelaksanaan perkara-perkara di bawah MA63.

Sehingga kini, sebanyak 13 perkara diselesaikan, lima perkara diselesaikan secara interim, dua perkara masih belum selesai tetapi telah mempunyai keputusan dasar, empat perkara masih dalam perbincangan, manakala lima perkara lagi dirujuk untuk pertimbangan dan keputusan di peringkat tertinggi.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah: Pertambahan perjawatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan; Pelaksanaan Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Negeri Sabah dan Negeri SarawakIsu kesihatan; Isu pendidikan; Pemberian kuasa berkaitan alam sekitar; dan Pembangunan kawasan sempadan Sabah–Sarawak–Kalimantan.

Dalam mesyuarat tersebut, Mohd Yunus Sakmud turut mengarahkan semua kementerian dan agensi Persekutuan supaya memberi kerjasama untuk mengutamakan penyelesaian isu-isu MA63 yang masih tertangguh bagi mempercepatkan pelaksanaannya.

Kerajaan Sarawak kekal komited untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dilaksanakan secara menyeluruh, selaras dengan semangat federalisme dan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.