BINTULU: Kerajaan Sarawak memperkukuhkan jaringan kebajikan rakyat menerusi penyediaan Anjung Kasih Hospital Bintulu yang menawarkan kemudahan penginapan kepada keluarga pesakit.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Anjung Kasih itu mencerminkan komitmen kerajaan memastikan pembangunan negeri bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, malah turut meningkatkan kesejahteraan masyarakat selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, Anjung Kasih bukan sekadar sebuah bangunan baharu, malah melambangkan nilai kemanusiaan, keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam membantu keluarga pesakit yang sedang melalui detik sukar.
Menurut beliau, pembangunan Sarawak bukan hanya diukur melalui kemajuan ekonomi dan infrastruktur, malah turut memberi penekanan kepada kesejahteraan sosial serta kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Komitmen ini membuktikan bahawa sektor korporat bukan sahaja menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi.
“Malah mampu menjadi rakan pembangunan sosial yang memberi impak secara langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Anjung Kasih Hospital Bintulu di Hospital Bintulu, hari ini.
Premier Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) serta Bintulu Port Holdings Berhad yang menaja sepenuhnya pembinaan Anjung Kasih Hospital Bintulu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Anjung Kasih Hospital Bintulu merupakan Anjung Kasih pertama di negara ini yang menggunakan Anjung Kasih Management System, iaitu sistem digital bagi menguruskan pendaftaran dan penginapan waris pesakit.
Premier Sarawak turut memaklumkan kerajaan negeri akan meneruskan inisiatif berkenaan menerusi pembangunan Anjung Kasih di Kuching dengan kerjasama SABATI.
Hadir sama anak Premier Sarawak, Dayang Norjihan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah. Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-timbalan Menteri, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Dato Ruslan Abdul Ghani. – UKAS
