KUCHING: Lembaga Pengarah Sarawak Energy Berhad hari ini mengumumkan pelantikan Dato Ruslan Abdul Ghani sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO Kumpulan) yang dilantik berkuat kuasa 1 September depan.
Beliau akan mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada 1 November 2026 susulan persaraan Datuk Sharbini Suhaili selepas tamat kontrak semasanya pada penghujung Oktober 2026.
Ruslan menyertai Sarawak Energy daripada Bintulu Port Holdings Berhad dan beliau kini berkhidmat sebagai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.
Seorang jurutera mengikut latihan profesional, beliau memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan dari University of Warwick, United Kingdom, serta mempunyai lebih 30 tahun pengalaman kepimpinan dalam sektor tenaga dan infrastruktur.
Sebelum menyertai Bintulu Port Holdings Berhad, beliau berkhidmat selama 32 tahun bersama PETRONAS dengan memegang pelbagai jawatan kanan di Malaysia dan luar negara, termasuk di Sudan, Iraq, Emiriah Arab Bersatu dan Turkmenistan.
Sepanjang menerajui Bintulu Port Holdings, beliau memainkan peranan penting dalam kejayaan pemindahan pemilikan Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak, di samping memacu transformasi organisasi, kecemerlangan operasi dan pertumbuhan mampan.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang dilantik, Ruslan akan bekerjasama rapat dengan Sharbini serta Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan dalam tempoh dua bulan akan datang bagi memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar dan teratur.
Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Ibrahim Baki berkata, pelantikan itu mencerminkan keyakinan Lembaga Pengarah terhadap keupayaan Ruslan untuk menerajui Sarawak Energy ke fasa pertumbuhan seterusnya.
“Beliau (Ruslan) membawa pengalaman kepimpinan yang luas, visi strategik serta rekod cemerlang dalam melaksanakan transformasi organisasi yang kompleks.
“Kepakaran beliau dalam sektor tenaga dan infrastruktur, digabungkan dengan komitmen tinggi terhadap kecemerlangan operasi dan kelestarian, akan membolehkan Sarawak Energy terus melaksanakan strategi jangka panjangnya sambil menyokong aspirasi Sarawak dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Pengerusi turut merakamkan penghargaan kepada Sharbini atas kepimpinan korporat yang cemerlang serta khidmat bakti beliau kepada Sarawak Energy.
“Di bawah kepimpinan Datuk Sharbini, Sarawak Energy berkembang menjadi antara utiliti tenaga boleh diperbaharui terkemuka di Asia Tenggara menerusi pelaksanaan berjaya Pelan Hala Tuju Kecemerlangan Sarawak Energy. Beliau turut memperkukuh daya tahan operasi dan kewangan Kumpulan, memperluaskan jaringan tenaga serantau serta meletakkan Sarawak sebagai kuasa baharu dalam tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Sharbini mengetuai pengambilalihan Empangan Hidroelektrik Bakun, mengukuhkan kedudukan kewangan Sarawak Energy sambil mengekalkan penarafan kredit bertaraf pelaburan antarabangsa serta penarafan AAA domestik.
Empangan Hidroelektrik Bakun menerima Anugerah Blue Planet 2025 daripada International Hydropower Association (IHA) serta Pensijilan Perak Piawaian Kelestarian Hidrokuasa dan memperkukuh kedudukan Sarawak Energy di peringkat antarabangsa dalam bidang hidrokuasa mampan.
Peralihan kepimpinan ini mencerminkan komitmen Sarawak Energy terhadap tadbir urus korporat yang kukuh serta perancangan penggantian kepimpinan yang tersusun.
