KOTA SAMARAHAN: Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak berjaya meraih People’s Choice Award di Certiport CCC’s Adobe Certified Professional World Championship 2026.
Menurut kenyataan media UiTM Cawangan Sarawak, beliau ialah pelajar tahun akhir program Diploma Seni Reka Grafik dan Media Digital, Pusat Pengajian Seni Lukis, Seni Reka, Seni Bina, Perancang dan Ukur, Muhammad Nafiz Asyraaf Mohd Nazrin yang menyertai kejohanan dunia itu di Amerika Syarikat baharu-baharu ini.
Beliau juga meraih tempat keempat dalam kejohanan itu dan turut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD1,250.
Kejayaan ini hasil bimbingan penyelia beliau, Ts Madeleine Elna Perreau selain sokongan penajaan dari Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu, Yayasan MBI Selangor, pihak Pengurusan UiTM Cawangan Sarawak serta pensyarah.
Perjalanan pelajar kelahiran Selangor ini ke pentas dunia bermula apabila di tangga keempat dalam Pertandingan Peringkat Kebangsaan Certiport CCC’s Adobe Certified Professional National Championship pada Mei lalu yang membuka laluan beliau mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.
Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Firdaus Abdullah turut menzahirkan tahniah atas kejayaan Muhammad Nafiz sebagai bukti kecemerlangan pelajar UiTM di persada antarabangsa.
