Cadangan persempadanan semula langkah strategik, seimbangkan pembangunan

KUCHING: Cadangan persempadanan semula beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak disifatkan sebagai langkah strategik yang mampu memperkukuhkan sistem perwakilan politik, kata Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.

Pada masa sama katanya, cadangan tersebut bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

“Cadangan itu mengambil kira perubahan demografi penduduk, keluasan geografi serta kewujudan kawasan perumahan dan penempatan baharu, sekali gus memastikan agihan pembangunan seimbang, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan persempadanan semula beberapa kawasan DUN Sarawak.

Ahmad Johnie menjelaskan, cadangan menukar nama Parlimen Igan kepada Parlimen Batang Lassa juga wajar kerana lebih mencerminkan keluasan geografi kawasan yang meliputi kira-kira 2,250 kilometer persegi, termasuk penempatan pesisir sungai dan kawasan pedalaman.

“Ketika ini kira-kira 45 peratus daripada pengundi Parlimen Igan berada di kawasan pesisir sungai. Nama Batang Lassa lebih menggambarkan keluasan dan identiti kawasan tersebut,” katanya

Menurutnya, sekiranya cadangan itu diluluskan, Parlimen Batang Lassa akan merangkumi tiga kawasan DUN iaitu Daro, Matu dan Igan yang baharu.

Katanya, ini sekali gus membabitkan komposisi pengundi pelbagai kaum dengan masyarakat Melanau dan Dayak sebagai kumpulan terbesar, diikuti masyarakat Cina.

Ahmad Johnie berkata, persempadanan baharu itu akan membolehkan wakil rakyat memberi tumpuan lebih berkesan kepada kawasan pedalaman termasuk kampung dan rumah panjang di pesisir sungai.

Selain itu katanya, langkah itu memudahkan perancangan pembangunan mengikut keperluan sebenar penduduk.

Katanya, pelaksanaan projek infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air, elektrik serta kemudahan kesihatan dirancang dengan lebih tersusun. Pada masa sama, ia mempercepatkan pembangunan luar bandar dan meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat.

Katanya, beliau tidak melihat cadangan itu berdepan cabaran besar kerana matlamatnya untuk kepentingan rakyat, namun usaha memberi penerangan kepada masyarakat perlu diperkasakan bagi mengelakkan kekeliruan terhadap perubahan nama dan sempadan kawasan pilihan raya.

“Saya bersetuju dengan cadangan ini dan berharap ia dapat diluluskan demi kepentingan rakyat Sarawak,” katanya.