Sarawak jadikan 99 DUN asas kembalikan satu pertiga kerusi Parlimen

KUCHING: Usaha mengembalikan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah memerlukan penyelesaian terlebih dahulu terhadap cadangan menambah 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pertambahan kerusi DUN daripada 82 kepada 99 akan menjadi tapak penting sebelum pertambahan kawasan Parlimen Sarawak dapat dilaksanakan.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, jumlah kerusi DUN yang lebih besar akan menjadi asas dalam menentukan keperluan serta pembahagian kawasan Parlimen baharu pada masa akan datang.

“Bila tiba masanya kita hendak menambah kawasan Parlimen, asasnya ialah 99 kerusi DUN.

“Itulah yang penting untuk mengembalikan satu pertiga kerusi Parlimen bagi menjaga kepentingan Sarawak dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sambutan Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak (IECONS) 2026 di sini, hari ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan sambutan itu.

Alexander Nanta berkata, pihaknya berharap cadangan penambahan 17 kerusi DUN itu dapat dimanfaatkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, namun mengakui pelaksanaannya bergantung kepada proses kelulusan yang sedang berjalan.

Menurutnya, perkara lebih utama ialah memastikan proses persempadanan tersebut dapat dimuktamadkan kerana mempunyai kaitan langsung dengan perancangan menambah bilangan wakil Sarawak di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, peningkatan jumlah kerusi Parlimen Sarawak dan Sabah penting bagi memastikan kedua-dua wilayah mempunyai perwakilan seimbang serta mampu membawa kepentingan masing-masing di peringkat Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau menyokong pandangan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa proses berkenaan tidak seharusnya mengambil masa terlalu panjang.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai faktor kelewatan kerana proses tersebut masih berjalan dan perlu mengikut saluran ditetapkan.