Bukit Saban berpotensi pembekal ayam kacukan Sarawak

SPAOH: Penternak ayam kacukan diingatkan supaya mengamalkan pengurusan ladang baik, termasuk menyediakan reban mengikut kapasiti ternakan serta menitikberatkan aspek biosekuriti bagi menjamin kesihatan dan kualiti ternakan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh industri ayam kacukan dan menjadikan Bukit Saban sebagai antara pembekal utama ayam kacukan di Sarawak.

Beliau berkata, pengurusan ladang yang sistematik merupakan faktor utama dalam menghasilkan ternakan sihat, berkualiti serta memenuhi kehendak pasaran.

“Saya gembira kerana kesungguhan peserta mengusahakan penternakan ayam kacukan.

“Dengan komitmen dan usaha berterusan, saya yakin bidang ini mampu berkembang sebagai antara sumber pendapatan utama masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi libat urus bersama 26 penternak ayam kacukan di Bukit Saban yang dianjurkan Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban, hari ini.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, penternak perlu memastikan reban dibina mengikut kapasiti ternakan sesuai.

Beliau turut memaklumkan cadangan pembinaan sebuah pusat penyembelihan ayam di Bukit Saban sedang dibincangkan bagi melengkapkan rantaian industri melalui proses penyembelihan dan pemprosesan yang lebih sistematik.