Utamakan kesihatan, keselamatan pekerja

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, profesional kesihatan pekerjaan memainkan peranan penting bagi memastikan transformasi teknologi dilaksanakan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan keselamatan dan kebajikan pekerja.

Usaha itu katanya, selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi mampan menerusi sektor ekonomi hidrogen, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi rendah karbon.

“Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi digital menuntut pendekatan baharu dalam pengurusan keselamatan serta kesihatan pekerjaan,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian semasa perasmian Kongres Kesihatan Pekerjaan Asia (ACOH) Ke-24 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Beliau berkata, perkara itu harus diutamakan bagi memastikan kesejahteraan pekerja terus terpelihara.

Premier Sarawak menegaskan, perubahan landskap industri memerlukan penilaian terhadap interaksi manusia dengan mesin, reka bentuk tempat kerja, keperluan kemahiran baharu serta kesan terhadap kesihatan mental pekerja.

“Apabila AI, automasi dan teknologi digital semakin digunakan di tempat kerja, kita perlu menilai kesannya terhadap interaksi manusia dengan mesin, reka bentuk tempat kerja, keperluan kemahiran, keselamatan pekerjaan dan kesejahteraan mental pekerja,” katanya.