KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang berkemungkinan masih menggunakan persempadanan kawasan pilihan raya sedia ada.
Ini berikutan proses persempadanan semula yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan cadangan penambahan kerusi, namun pelaksanaan persempadanan semula kini bergantung kepada SPR mengikut prosedur ditetapkan.
Beliau berkata, SPR perlu melaksanakan beberapa proses penting sebelum cadangan itu dimuktamadkan, termasuk menjalankan kajian lapangan, menilai taburan penduduk, aspek logistik serta keperluan pentadbiran di kawasan terlibat.
“Selepas itu cadangan persempadanan perlu dipamerkan kepada orang ramai di pejabat-pejabat daerah bagi membolehkan penelitian, bantahan atau maklum balas dikemukakan sebelum dimuktamadkan,” katanya selepas menghadiri Program Kuppa Kuppi terbitan RTM di sini, semalam.
Mengulas peta persempadanan yang tular di media sosial, beliau berkata kesahihan dokumen berkenaan tidak dapat dipastikan kerana SPR masih belum mengeluarkan sebarang cadangan rasmi untuk tatapan umum.
“Lazimnya, proses persempadanan mengambil masa antara enam hingga lapan bulan selepas pameran awam sebelum dibawa ke Parlimen bagi mendapatkan kelulusan akhir, bergantung kepada jadual persidangan,” katanya.
Beliau berkata, tempoh itu dilihat agak mencabar memandangkan penggal DUN Sarawak dijadual berakhir pada Februari tahun depan, sekali gus menjadikan penggunaan persempadanan baharu pada PRN akan datang sukar direalisasikan.
