Pesta Tumbina 2026 mampu tarik ribuan pengunjung

BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menganjurkan Pesta Tumbina 2026 di Taman Tumbuhan dan Binatang (Tumbina), mulai hari ini sehingga 9 Ogos ini.

Aktiviti sepanjang tiga hari itu termasuk pameran flora dan fauna, pameran serta jualan kraf tangan, pameran oleh rakan kolaborasi.

Selain itu, terdapat Nature Walk, Jungle Trekking, Explore Race, Tumbina Night Walk, persembahan hiburan dan pelbagai aktiviti interaktif untuk semua peringkat umur.

Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datuk Haidar Khan Asghar Khan berkata penganjuran pesta sempena ulang tahun ke-35 Taman Tumbina dan mencerminkan komitmen berterusan BDA memastikan pembangunan bandar seiring usaha memelihara alam sekitar.

Beliau juga yakin rekod kehadiran seramai 60,000 pengunjung pesta itu tahun lalu, mampu diatasi pada tahun.

“Ini sekiranya keadaan cuaca mengizinkan dan berdasarkan sambutan awal yang amat menggalakkan daripada masyarakat tempatan dan pengunjung luar Bintulu,” katanya semasa merasmikan Pesta Tumbina di sini.

Menurutnya, Pesta Tumbina mencatat peningkatan jumlah pengunjung sejak kira-kira empat tahun lalu apabila kurang 10,000 pengunjung pada penganjuran pertama dan meningkat lebih 15,000 orang pada tahun berikutnya.

“Jumlah itu terus melonjak kepada kira-kira 60,000 pengunjung pada edisi 2025, sekali gus membuktikan pesta tersebut semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat,” katanya.