Belia perlu hargai Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2

KUCHING: Peserta Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 khususnya golongan belia di perlu menghargai dan memanfaatkan sepenuhnya lesen tersebut.

Program bantuan ini merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu golongan sasar dan berpendapatan rendah untuk mendapatkan lesen memandu motosikal pada kadar minimum bermula 15 April lalu.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata ini kerana peserta diberi peluang untuk mendapatkan lesen itu dengan bayaran hanya RM250 melalui inisiatif terbabit.

“Sedangkan di tempat lain kosnya boleh mencecah RM500 hingga RM700. Ini merupakan satu peluang yang sangat bermakna dan perlu kita hargai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran DUN Tupong di Dewan SUPP Matang, Jalan Sungai Tengah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPS Sarawak, Norjihan Jili.

Seramai 806 calon berjaya memperoleh lesen berkenaan selepas lulus tapisan dan ujian dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sehubungan itu, Fazzrudin juga mahu peseta menghargai pemimpin yang berusaha memastikan kesejahteraan rakyat.

“Hargailah Kerajaan Sarawak yang sentiasa membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif, khususnya dalam bidang pendidikan dan kebajikan,” tambahnya.

Penganjuran program merupakan hasil kerjasama strategik JPJ Sarawak, Pusat Khidmat DUN N.6 Tupong dan Institut Memandu Canggiran Sdn Bhd.


Sementara itu, Dewan SUPP gamat seketika apabila ADUN Tupong itu mengumumkan 11 cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik. Antaranya, sebuah motosikal, baju jersi 2026/2027 Kuching FC dan baju T serta rantai kunci.