Keganasan rumah tangga perlukan perhatian, tindakan menyeluruh

LUNDU: Sebanyak 7,391 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara pada tahun lalu, manakala 4,014 kes dilaporkan sehingga Jun 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, di Sarawak pula sebanyak 552 kes direkodkan pada 2025 dan 298 kes pula sehingga Jun tahun ini.

“Statistik ini menunjukkan keganasan rumah tangga masih memerlukan perhatian serius semua pihak.

“Perkara ini tidak boleh dianggap sebagai masalah peribadi keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan program Wonderful Life: Program Kesedaran Keganasan Rumah Tangga JKM 2026 di Pusat Latihan SALCRA Bajo, di sini, hari ini.

Tegas beliau, di sebalik setiap angka, ada wanita yang hidup dalam ketakutan di samping anak-anak yang membesar dalam trauma dan keluarga yang menanggung penderitaan.

Justeru ujarnya, program anjuran KPWKM melalui JKM itu bertujuan meningkatkan kesedaran menerusi pendidikan, perkongsian ilmu dan penglibatan komuniti.

Jelasnya, Program Wonderful Life akan dilaksanakan selama lima tahun di 10 negeri yang merekodkan kes keganasan rumah tangga tertinggi bagi memperkukuhkan advokasi serta kerjasama kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), agensi berkaitan dan komuniti.

Nancy berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM200,000 tahun ini bagi pelaksanaan program berkenaan dan menegaskan usaha menangani keganasan rumah tangga itu memerlukan penglibatan masyarakat bagi memutuskan kitaran keganasan.