KUCHING: Sarawak menyasarkan Korea Selatan sebagai pasaran pelancongan berpotensi tinggi, dengan promosi dipergiatkan bagi menarik lebih ramai pelancong, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Jelasnya, usaha menerokai hubungan udara melalui syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo di antara Kuching–Pulau Jeju dilihat mampu membuka laluan baharu untuk meningkatkan kunjungan pelancong Korea Selatan ke negeri ini.
“Korea merupakan pasaran penting yang mula diberi tumpuan sejak Januari tahun ini.
“Ini termasuk cadangan mewujudkan penerbangan terus Kuching-Jeju,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Forum Pengetahuan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) Travel Mart 2026 di Sheraton Hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board, Dr Sharzede Datu Salleh Askor, Pengerusi PATA, Henry Oh dan Ketua Pegawai Eksekutif PATA Noor Ahmad Hamid.
Tambah Abdul Karim, cadangan tersebut dibuat mengambil kira minat rakyat Sarawak yang gemar melancong ke Korea Selatan.
Malah, katanya kedua-dua destinasi mempunyai kelebihan tersendiri, khususnya dalam aspek taman geo.
“Jeju diiktiraf sebagai Geopark Global UNESCO manakala Kuching sedang dalam proses mendapatkan pengiktirafan.
“Hubungan ini bukan sekadar pelancongan, malah membuka peluang Sarawak mempelajari kejayaan Korea dalam pendidikan, teknologi, automotif, muzik dan eksport,” ujarnya.
Jelas beliau, Kuching turut semakin menjadi pilihan keluarga Korea untuk menghantar anak mereka seawal usia tujuh hingga lapan tahun ke sekolah antarabangsa bagi mempelajari bahasa Inggeris.
Lebih menarik katanya, ada keluarga Korea yang terlebih dahulu membuat perbandingan antara Kuala Lumpur, Singapura dan Kuching sebelum akhirnya memilih bandar raya ini untuk tujuan tersebut.
“Mereka tertarik dengan suasana Kuching yang lebih tenang dan selesa untuk anak-anak menimba ilmu.
“Perkembangan itu bukan sahaja membuka peluang Kuching sebagai destinasi pelancongan tetapi sebagai pendidikan pilihan keluarga Korea, khususnya untuk penguasaan bahasa Inggeris,” katanya.
