Acara antarabangsa kukuhkan Sarawak destinasi pelancongan

KUCHING: Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) Travel Mart 2026 yang julung kali diadakan di Borneo, khususnya di Sarawak, mendapat sambutan menggalakkan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara itu berjaya menghimpunkan delegasi dari 48 negara.

Penganjuran acara antarabangsa ini sekali gus katanya, terus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan dan persidangan antarabangsa.

“Penganjuran acara itu turut memberi peluang kepada delegasi antarabangsa mempamerkan produk pelancongan masing-masing.

” Menerusi kiosk yang ada, mereka dapat menjalinkan hubungan perniagaan dan kerjasama dalam industri pelancongan,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Pameran PATA Travel Mart 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, (BCCK) di sini, hari ini.

Tambahnya, pemilihan Kuching sebagai lokasi PATA Travel Mart turut membuktikan keupayaan bandar raya ini menjadi destinasi persidangan bertaraf antarabangsa.

Di masa akan datang, jelasnya, Sarawak sentiasa bersedia bagi pelaksanaan acara berskala besar sekiranya diberi peluang.

” BCCK 2 kita yang sedang dalam pembinaan mampu menampung sehingga 10,000 peserta berbanding 5,000 bagi BCCK sekarang,”katanya.

Kemudahan baharu itu dijangka siap dalam tempoh kira-kira dua tahun dan bakal membolehkan Sarawak membida persidangan antarabangsa berskala besar di masa depan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengerusi bagi STB, Datuk Dennis Ngau
dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Dr Sharzede Datu Salleh Askor.

Pengerusi PATA, Henry Oh, Ketua Pegawai Eksekutif PATA, Noor Ahmad Hamid dan Setiausaha Tetap MCTP, Morshidi Fredrick turut hadir.