JaPen serah Kit Satu Rumah Satu Jalur Gemilang

KUCHING: Semangat mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan 2026 disemarakkan menerusi Program Penyerahan Kit Satu Rumah Satu Jalur Gemilang anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak.

Pengarah JaPen Sarawak, Sabri Said berkata, penyerahan kit berkenaan mendekati masyarakat selain menyampaikan mesej Kempen Kibar Jalur Gemilang, khususnya konsep ‘Satu Rumah Satu Jalur Gemilang’.

Menurutnya, kempen itu turut memberi penekanan terhadap cara pemasangan dan pengibaran Jalur Gemilang yang betul supaya lambang negara tersebut dihormati dan digunakan mengikut tatacara ditetapkan.

“Matlamat kita adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, tidak kira sama ada penjawat awam atau bekerja di mana-mana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Program Penyerahan Kit Satu Rumah Satu Jalur Gemilang sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang (KMJG) 2026 bersama JaPen Arena Penggerak Komuniti di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, di sini.

Sabri berkata, JaPen akan meneruskan pendekatan turun padang menerusi program bersama komuniti bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan serta membudayakan semangat patriotik melalui pengibaran Jalur Gemilang.