KUCHING : Kualiti udara di Sarawak menunjukkan trend peningkatan dengan sembilan kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dalam kategori Tidak Sihat setakat jam 8 pagi hari ini.
Menurut kenyataan media Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, kawasan berkenaan ialah Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Lundu, Tebedu dan Lubok Antu.
Serian dan Lubok Antu mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 185, diikuti Kuching (180) dan Lundu (175).
Sementara itu, dalam kenyataan tersebut turut memaklumkan, lapan kawasan lain berada dalam kategori Sederhana, manakala Bario mencatatkan bacaan Baik.
Tambah NREB, asap rentas sempadan dari Kalimantan Barat turut bergerak ke arah Sarawak dan keadaan cuaca panas dan kering berpotensi menyebabkan jerebu berterusan dalam beberapa hari akan datang.
Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, minum air secukupnya dan memakai pelitup muka, khususnya golongan berisiko tinggi.
NREB turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan kejadian kepada Hotline NREB di 082-447488 atau 082-319500.
