KUCHING: Enam kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 1 petang hari ini.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan bacaan tertinggi di IPD Serian dengan IPU 193, diikuti Kuching (190), Sri Aman (178), Samarahan (173), Sarikei (153) dan Sibu (108).
“Kualiti udara merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat di Sarawak berikutan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) pada 19 Ogos, sebanyak 489 titik panas dikesan di Kalimantan, 19 di Sumatera dan 11 dalam negara, termasuk sembilan di Sarawak serta dua di Sabah.
Peta jerebu ASMC pada 20 Ogos menunjukkan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga padat dari Kalimantan Barat bergerak ke arah utara memasuki Sarawak selain asap dari beberapa kawasan lain di Kalimantan.
JAS meningkatkan rondaan harian dan penguatkuasaan di kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka selain mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
“Sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200, manakala semua aktiviti di luar bilik darjah dihentikan apabila bacaan melebihi 100,” tambahnya.
