Tarif elektrik Sarawak dikekal

KUCHING: Sarawak akan terus mengekalkan kadar tarif elektrik sedia ada dan tidak bercadang mengubah kadar itu.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kadar ini dikekalkan walaupun tarif elektrik di Semenanjung telah diselaraskan.

“Setakat ini seperti yang ada sekarang. Kita belum ada ( cadangan ubah tarif elektrik),” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitrinya di Taman Heritage, Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, Petra Jaya di sini, hari ini.

Julaihi berkata, tarif elektrik di Sarawak ketika ini antara yang terendah di negara ini.

Katanya, tidak ada cadangan untuk memberikan diskaun bil elektrik kepada pengguna di negeri ini seperti yang dilakukan sebelum ini.

Beliau menjelaskan diskaun bil elektrik diberikan Kerajaan Sarawak menerusi skim Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) susulan Covid-19.

“Sekarang dalam keadaan kembali normal dan diskaun itu sudah berakhir 31 Disember tahun lalu,” katanya.