SIBU: Kawasan Kampung Datu, Sibu akan dibangun semula di bawah perancangan pemodenan yang akan dilaksanakan kerajaan negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek pembangunan tersebut diluluskan menyaksikan Kampung Datu akan dimodenkan.
Bagaimanapun, ia akan mempertahankan ciri-ciri budaya yang ada di kampung tersebut dan sekitarnya.
Mengambil konsep pembangunan kawasan perumahan Darul Hana di Kuching, Premier berkata, pembangunan Kampung Datu lama itu akan disepadukan dengan Kampung Datu Baru.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, UTS, Sibu malam tadi.
Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Abang Johari menjelaskan, sebuah pusat persidangan akan dibina di Tebingan Sungai Igan dilengkapi pelbagai ciri-ciri peralatan moden serta tarikan menarik.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebuah jalan raya baharu sepanjang 15 kilometer (km) juga akan dibina bagi menghubungkan Kampung Datu dan Kemuyang bagi memberi laluan untuk pembangunan semula kampung tersebut.
