KUCHING: Amalan ziarah menziarahi rumah terbuka semasa perayaan Hari Raya perlu diteruskan bagi merapatkan silaturahim.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perayaan itu adalah masa yang sesuai untuk menjalin hubungan baik tanpa mengira bangsa dan agama sekali gus mengukuhkan perpaduan dalam membangun Sarawak.
“Perpaduan, keharmonian dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi banyak membantu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam usaha mengubah Sarawak yang kita cintai menjadi wilayah yang sangat progresif dan makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan Hari Raya 2024, hari ini.
Dalam pada itu, Uggah juga menyatakan keyakinan Abang Johari mampu membawa Sarawak ke tahap yang lebih tinggi pada tahun akan datang.
“Saya dan keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di mana jua anda berada.
“Semoga perayaan ini membawa anda dan orang yang anda sayangi keberkatan, kebahagiaan dan kedamaian yang berlimpah sekarang dan pada tahun-tahun mendatang,” ujarnya.
