KUCHING: Usaha Kerajaan Sarawak menyediakan pendidikan percuma di semua institut pendidikan tinggi awam (IPTA) negeri menjelang 2026 amat dialukan.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau amat mengalu-alukan kepimpinan Premier Sarawak menyediakan pendidikan percuma.
Katanya, langkah Kerajaan Sarawak memberikan tumpuan dalam memperkasakan bidang pendidikan adalah sesuatu yang tepat untuk dilaksanakan.
“Dengan usaha yang baik ke arah pendidikan rakyat Sarawak, saya berharap lapisan rakyat bakal menikmati pendapatan yang lebih tinggi, kehidupan lebih baik, penjagaan kesihatan berkualiti dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam perutusan Hari Raya 2024.
Wan Junaidi juga turut menyeru agar rakyat Sarawak tidak melupakan jasa dan pengorbanan anggota semua cabang pasukan keselamatan, pasukan kesihatan dan penjawat awam negeri Sarawak.
“Setiap kali musim perayaan, mereka senantiasa mencurahkan khidmat setia tanpa berbelah bahagi dalam menjaga dan memelihara keselamatan rakyat dan negara,” katanya.
Katanya, tidak boleh dilupakan ialah golongan kurang berkemampuan, anak-anak yatim, warga tua, orang kelainan upaya dan terutamanya rakyat Palestin di Gaza yang sedang diuji dengan isu kemanusiaan dan ujian kekejaman yang amat dasyat.
“Marilah kita sama-sama memanjatkan doa dan pengharapan kepada Allah SWT agar kemelut yang mereka hadapi sekarang segera berakhir,” tambahnya.
