Pengurusan kewangan keluarga penting hadapi ekonomi mencabar

BINTULU: Program yang menggabungkan aspek penghayatan syiar Islam dan pengurusan kewangan keluarga amat bertepatan dengan keperluan masyarakat masa kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata ini kerana dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar, perancangan kewangan baik membantu keluarga mengawal perbelanjaan.

Katanya, ini juga mengurangkan hutang dan membantu membuat persediaan masa depan
khusunya bagi pendidikan serta kebajikan anak-anak.

“Setiap keluarga perlu memiliki pengetahuan dan kemahiran untuk mengurus kewangan secara bijaksana, berdisiplin dan terancang bagi mencapai kestabilan ekonomi serta membina masa depan lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kursus Penghayatan Syiar Islam dan Pengurusan Kewangan Keluarga 2026 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Bintulu di Dewan Serbaguna Sri Segan, Kampung Muslim Segan di sini, hari ini.

Program dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Muslim Segan itu menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri dari penduduk, jemputan dari Sebauh serta wakil Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Jepak.